Monday, May 11, 2009

Aku Suka

Beritahu aku jika ada orang atau siapa-siapa saja yang tidak mahu sihat, cergas dan bertenaga. Lain orang lain caranya. Ada yang pilih cara mudah. Ada yang pilih cara lasak. Ada juga yang pilih cara yang aku paling suka iaitu SUKAN. Banyak cara, banyak ragamnya, juga banyak bicaranya. Tetapi tidak semua berjaya. Kenapa?...

Kali ini aku mahu fokuskan sukan sebagai salah satu alat atau instrumen yang berupaya jadikan manusia sihat. Aku mahu fokus sebab AKU SUKA. Mudah bicara, pendek cerita. Cakap pasal sukan aku boleh jadi gila. Barangkali. Cukup teruja. Memang AKU SUKA. Aku amalkan gaya hidup aktif. Sangat. Sebenarnya aku hanya mahu sihat. Sama seperti anda. Jujur aku mahu lontarkan pandangan kali ini kerana melihat orang-orang sekelilingku. Rakan-rakanku paling utama. Sungguh, anda mahu sihat. Malangnya tidak kena cara. Semua mahu mudah. Tak suka. Jauh, mahu aku menidakkan usaha anda, namun aku percaya jika mahu sihat anda perlu usaha. Usaha lebih!!!. Bukan untuk siapa-siapa. Pastinya untuk anda!!!. Bersukanlah. Senamanlah.
"Ya...aku sudah senaman dan bersukan, hari ini aku turun naik tangga ke fakulti dan semalam aku membeli-belah dengan berjalan kaki di Mid Valley. Berpeluh-peluh...sihat", kata anda.

Mana sukannya. Mana senamannya. Aku tak jumpa. Pilihlah satu sukan yang anda suka. Pasti ada. Badminton, futsal, bola jaring atau apa saja. Ajak rakan anda untuk sama-sama memainkannya. Seronok. Tapi harus diingat sebelum mula bermain lakukan regangan badan. Wajib ada. Tak tahu bagaimana hendak bermula?...Tanya pada yang pakar. Rujuk buku atau internet. Aku juga sama seperti kalian. Juga merujuk. Juga bertanya. Kemudian mainkan sukan yang anda gemari sebaiknya. Ingat, sukan itu disiplin. Ada peraturannya. Ada pergerakannya. Ada caranya. Malah ada falsafahnya!!!.

Justeru itu, bermainlah anda dengan sukan yang anda suka sama seperti aku. Sungguh-sungguh. Baru anda dapat rasa perbezaannya. Pilihlah waktu lapang yang anda suka samada pagi, petang mahupun malam. Serulah teman dan keluarga anda agar menyertai anda. Sama-sama. Moga-moga anda semua beroleh keseronokkan serta manfaatnya. Paling penting anda jadi sihat, cergas dan bertenaga seperti yang anda suka.

Ayuh rakan-rakan semua.


Thursday, May 7, 2009

Yang Pertama

Bagaimana untuk bermula?...Erm...aku teruja, ya teruja...kenapa?...kerana saat ini aku menulis lagi...tak sangka. Aku menulis lagi, namun dalam ruang dan dimensi yang berbeza, sesuai dengan perkembangan dunia dewasa ini.

Sukar benar untukku memulakan bicara pertama ini. Nyata hatiku ingin sekali memiliki blog sendiri, namun aku tangguhkan...acapkali. Aku cuma meragui jika hajat di hati ini adalah satu keperluan atau kehendak diri. Aku bertanya hati ini?...Mahu menulis lagi?...Kenapa kini?

Bila difikirkan, jika ada salah satu sebab mengapa aku ingin menulis mungkin kerana aku ingin sekali kembali menulis. Seperti waktu dulu. Maksudku waktu persekolahanku. Lama. Seingatku kali terakhir aku menulis adalah dalam peperiksaan STPM. Lebih kurang enam tahun sudah. Ya...aku suka dengan subjek Bahasa Melayu. Kurang periksa apa sebabnya, cuma yang pasti ia dekat dengan jiwaku.

Pernah dengar ungkapan Bahasa Jiwa Bangsa?...Bahasa Jiwa Bangsa, ungkapan biasa didengari tetapi sebenarnya ungkapan citra yang membara. Aku suka bahasa kerana ia lambang bangsa. Aku suka bahasa kerana ia lambang jiwa. Aku suka bahasa kerana...anda bagaimana?
Tepuk dada, tanyalah selera...

Terima kasih Mak, Abah, cikgu-cikgu semua. Sebab kalian aku pandai tulis baca dan kenal dunia.
Terima kasih buah hatiku kerna mahu aku kembali menulis...terima kasih atas segala.Terima kasih kawan-kawan kerna beri dorongan agar aku punya harapan...Terima kasih semua kerna sebab kalian aku punya semangat untuk memberitahu dunia bahawa AKU ADA.